Isnin, 6 Ogos 2012

Bendung Situasi Anak Bermain Sehingga Lewat Petang

Taman Permainan di Sibu Jaya

SIBU: Kelonggaran serta kebebasan kanak-kanak di Sibu Jaya bermain sehingga lewat petang menarik perhatian Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sibu Jaya Danggang Ugik.

Beliau memberitahu, situasi itu perlu dibendung serta-merta agar tidak menjadi lebih serius sehingga mengundang berlaku kejadian tidak diingini.

“Walaupun masih belum ada berlaku kejadian penculikan seperti di Semenanjung Malaysia, namun peranan awal sebagai ibu bapa perlu ditonjolkan. Ini kerana, kebebasan bermain yang diberikan ibu bapa hanya akan mendatangkan mudarat kepada anak-anak mereka yang akhirnya terjebak dengan gejala yang kurang sihat,” ujar beliau.

Danggang bagaimanapun mengakui bukan semua ibu bapa memberikan kebebasan kepada anak-anak mereka untuk bermain.

Jelas beliau, ada antara ibu bapa bekerja dan anak mereka tinggal dengan penjaga atau pengasuh yang dilantik.

Apabila dalam situasi ini kata Danggang, kanak-kanak ini tidak akan berasa takut dengan penjaga atau pengasuh mereka. Menurut Danggang lagi, ibu bapa perlu bijak mengatur masa bermain untuk anak-anak mereka.

Katanya, kanak-kanak juga memerlukan masa beriadah supaya mereka tidak terlalu tertekan selepas penat dengan aktiviti sekolah.

“Dengan kata lain, masa bermain, mengulang kaji serta masa beristirahat di rumah perlu diseimbangkan,” katanya.

Ibu bapa juga diseru supaya memberi contoh yang baik kepada anak-anak dengan meluangkan masa yang lebih kepada mereka.

Ia termasuk mengurangkan aktiviti yang lebih kepada keramaian tetapi memperbanyakkan berkomunikasi dengan anak-anak mereka.

Cara sedemikian jelas Danggang lagi, akan membantu merapatkan lagi hubungan kekeluargaan dalam sesebuah keluarga tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan