Uggah dan Sebastian sama-sama membantu anggota bomba memadamkan kebakaran
MIRI: Kualiti udara di kawasan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri yang terletak di Tudan, dekat sini adalah yang paling berbahaya di negara ini akibat daripada kebakaran tanah gambut.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia Dato Sri Douglas Uggah memberitahu di seluruh negara ketika ini hanya kawasan ILP Miri di Tudan ini sahaja yang masih berdepan dengan masalah kebakaran tanah gambut dan jerebu yang menyaksikan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 159 iaitu paras tidak sihat pada jam 3 petang semalam.
“Tetapi bagi kami (kementerian) paras ini adalah berbahaya dan bacaan indeks pencemaran udara di ILP ini adalah yang paling berbahaya di Malaysia ketika ini.
“Oleh sebab itulah saya terus datang ke sini sebaik menerima laporan mengenai situasi IPU dan kebakaran yang berlaku di sini daripada jabatan saya (Jabatan Alam Sekitar) semalam (Sabtu),” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke Tudan, dekat sini, semalam.
Sehingga jam 3 petang semalam, sebanyak 12 hektar tanah gambut yang terletak di kawasan penempatan semula Tudan di sini, terbakar sejak Sabtu lalu.
Kebakaran tersebut turut memusnahkan beberapa tiang elektrik yang didirikan di kawasan penempatan semula Tudan Fasa 6 itu.
Bagaimanapun keadaan kebakaran adalah terkawal dan Uggah memberi jaminan ia mampu dipadamkan sepenuhnya lewat petang semalam.
Seramai 17 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (bomba) dan bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di kawasan tersebut sambil dibantu oleh 20 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan dua anggota RELA.
Ekoran kawasan tersebut sudah digazetkan sebagai kawasan penempatan semula Tudan maka kementerian akan melakukan kajian terperinci untuk mengenal pasti dan kesesuaian pembinaan telaga tiub di kawasan berkenaan, jelas Uggah.
“Kita perlu ada penyelesaian dan salah satu alternatif yang difikirkan sesuai di sini ialah telaga tiub kerana ia mampu menyumbang kepada bekalan air selama sebulan, jika diperlukan bagi tujuan memadamkan kebakaran,” katanya.
Sehubungan itu beliau memberitahu akan menunggu laporan lanjut daripada Residen Miri Antonio Khati Galis yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Bahagian Miri, untuk masalah tersebut dikemukakan di kabinet kelak dan memohon peruntukan bagi penyelesaiannya.
Sementara itu, Jawatankuasa Bencana Bahagian Miri dijangka akan bermesyuarat esok.
Kebakaran kali ini berlaku hanya sebulan lebih sahaja jaraknya dengan kebakaran di kawasan ILP yang membabitkan lebih 50 hektar tanah gambut sekali gus menyumbang kepada bacaan IPU tertinggi negara iaitu mencecah paras 267 pada 27 Jun lalu.
Dalam pada itu, Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin iaitu Datuk Sebastian Ting yang mewakili Chin meninjau kawasan berkenaan, amat berterima kasih kepada kementerian kerana tindakan pantas mereka dan menterinya yang turut turun padang meninjau keadaan.
“Tindakan Dato Sri Uggah yang turun padang amat dihargai kerana beliau melihat sendiri situasinya dan mencari penyelesaian segera untuk mengatasi masalah ini,” katanya.
Sebastian turut menasihati orang ramai di Miri supaya tidak panik dengan keadaan yang berlaku kerana ia adalah terkawal dan dapat dipadamkan dengan segera - Utusan Borneo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan