Sabtu, 18 Ogos 2012

Budak Lelaki Terputus Tangan

KUCHING: Seorang budak lelaki terputus tangan kanan sehingga ke paras siku selepas terkena mesin pengisar rumput di sebuah ladang, di sini tengah hari semalam.

Menurut sumber, mangsa, 5, sebelum kejadian dilihat bermain di ladang tersebut seorang diri sebelum tiba-tiba kedengaran jeritan mangsa dari tempat mesin tersebut diletakkan sekitar jam 12 tengah hari semalam.

Beberapa orang pekerja ladang yang menyedari kejadian tersebut segera mendapatkan mangsa dan terkejut selepas melihat separuh daripada tangan kanan mangsa terperangkap di dalam mesin tersebut.

Mereka segera membantu mangsa sebelum menghubungi bapa mangsa yang sedang memotong kayu kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian di kawasan Matang, di sini.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Sumber tersebut turut memberitahu, mangsa bersama keluarganya telah lama menetap di ladang tersebut kerana mengikut bapanya yang bekerja di situ.

Mangsa merupakan anak keempat daripada lima adik beradik.

Paramedik memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa 

Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan, seorang lelaki warga tua nyaris maut selepas terjatuh dari motosikal semasa dalam perjalanan menuju ke pusat bandar tengah hari semalam.

Mangsa, 70-an, menurut saksi, dikatakan menunggang sebuah motosikal menuju ke Jambatan Tun Salahuddin sebelum tiba-tiba dilihat terjatuh dan terbabas ke tengah jalan.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan sahaja sementara seorang wanita yang gagal mengawal kenderaannya telah merempuh motosikal mangsa yang berada tidak jauh dari mangsa.

Mangsa telah dikejarkan ke HUS untuk rawatan lanjut oleh pihak paramedik.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan