Sabtu, 18 Ogos 2012

Dua Lelaki Warga Asing Didakwa


MIRI: Dua lelaki warga asing dalam dua kes berasingan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret pagi semalam atas tuduhan menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk tujuan bekerja.

Diana Reyers Besso dan Lynden Sali Julaid, masing-masing dari Antipolo dan Zamboanga, Filipina telah didakwa mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah peraturan yang sama.

Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1,000 atau enam bulan penjara.

Berdasarkan kes pertama, Diana telah ditangkap pada jam 11 pagi, 10 Ogos lalu di Pusat Beli-belah Boulevard di sini untuk tujuan pemeriksaan kerana dipercayai warga asing.

Hasil pemeriksaan mendapati tertuduh telah menyalahgunakan pas lawatan sosial yang dikeluarkan kepadanya untuk tujuan bekerja di pusat beli-belah tersebut.

Manakala dalam kes kedua, Lynden telah ditangkap pada jam 5.15 petang, 10 Ogos lalu di tapak pembinaan rumah di Jalan Airport kerana didapati melakukan kesalahan serupa dengan bekerja sebagai buruh binaan di tapak berkenaan.

Tiada pengakuan salah direkodkan dan Majistret Lovely Natasha Charles kemudian menangguhkan sehingga 28 Ogos ini untuk sebutan lanjut kes.

Manakala kedua-dua tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Lambir sementara menunggu tarikh tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan