Isnin, 6 Ogos 2012

Ekspo Kereta Rangsang Imej Miri

Lawrence (tiga kanan) mengawal kereta mainan 

MIRI: Ekspo kereta terbesar anjuran See Hua Marketing Sdn Bhd Cawangan Miri mampu meningkatkan ekonomi dan menaikkan imej sektor pelancongan Miri.

Datuk Bandar Miri, Lawrence Lai berkata program sedemikian memberi ruang kepada orang ramai untuk mengetahui produk terbaharu kenderaan menerusi pameran syarikat-syarikat terlibat.

“Ia adalah pendekatan terbaik kepada orang ramai untuk mengetahui dan menempah kenderaan-kenderaan baharu yang dipamer dan djual pada ekspo ini,” katanya pada Majlis Perasmian Ekspo Kereta di sini semalam.

Lawrence turut memberitahu, inisiatif yang diambil pihak penganjur turut membantu mempromosikan Miri sebagai sebuah bandar raya pelancongan domestik.

“Kita percaya bahawa inisiatif sebegini mampu menarik kehadiran pelawat dari negara jiran seterusnya menarik minat mereka untuk membeli-belah di sini,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau memuji pihak penganjur kerana turut menyelitkan unsur-unsur hijau terutamanya dalam pertandingan kitar semula barang-barang terbuang.

“Pertandingan pembuatan kereta menggunakan barang-barang terbuang turut menyokong kempen Semula 3R (mengurang, mengguna semula dan mengitar semula) yang diperkenalkan oleh MBM,” katanya.

Beliau juga berharap lebih banyak sektor swasta menganjurkan program yang menyelitkan unsur-unsur 3R kerana ia akan memastikan Miri sebagai bandar raya hijau dan bersih daripada sampah sarap.

See Hua Marketing menerbitkan akhbar Utusan Borneo, The Borneo Post dan See Hua Daily News.

Hadir sama Pengurus Kanan See Hua Marketing Tiong Ngie Yew, Pengerusi Penganjur Tony Ling dan Pengurus Cawangan See Hua Marketing Miri Wong Kee Mee - Utusan Borneo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan