Selasa, 7 Ogos 2012

Lakukan penyemburan kabus di takungan air

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) digesa melakukan kerja-kerja penyemburan kabus di kawasan takungan air khususnya di kawasan bandar raya bagi menghapuskan nyamuk.

Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Sebastian Ting berkata, beliau ada menerima aduan daripada penduduk di kawasan berhampiran mengenai masalah air bertakung yang dikhuatiri membiakkan nyamuk.

“Aduan tersebut serius dan perlu ditangani dengan segera. Saya difahamkan lurang tersebut tersumbat me-nyebabkan air bertakung di tepi jalan sejak dua tahun lalu,” katanya selepas mengadakan tinjauan ke kawasan di belakang Jalan Kwang Tung di pusat bandar raya semalam. Hadir sama Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pujut Andy Chia.

Sebastian berharap MBM dapat menyelesaikan masalah lurang tersumbat dan taku-ngan air itu memandangkan ia sudah berlarutan selama dua tahun termasuk membuat semburan kabus untuk mengelakkan penyakit bawaan nyamuk yang berbahaya seperti denggi.

Tambahnya, keadaan itu bukan sahaja menggalakkan pembiakan nyamuk malah ia menjejaskan imej Miri sebagai bandar raya pelancongan dan bandar raya hijau.

Seorang pemilik premis berhampiran yang hanya mahu dikenali sebagai Yo berkata, lurang tersebut tersumbat sejak dua tahun lalu, selepas kerja-kerja pemasangan paip gas di kawasan itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan