KUCHING: Seorang lelaki berusia 57 tahun meninggal dunia, dipercayai akibat serangan jantung selepas keputusan perlawanan akhir badminton sukan Olimpik antara Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan kelmarin ber-pihak kepada pemain China itu.
Mangsa dikenali sebagai Chung Kin Kiat, menonton perlawanan itu di sebuah kedai kopi di Serian, dekat sini sambil menikmati makan malam, dikatakan bersorak gembira ketika kemenangan set pertama pemain negara.
Menurut saksi, mangsa bagaimanapun dikatakan rebah kira-kira pada jam 9.20 malam dan terus tidak sedarkan diri setelah kekalahan Chong Wei.
Mangsa turut dikatakan menghidap penyakit buah pinggang dan terpaksa menjalani rawatan dialisis selama dua kali seminggu. Mayatnya dihantar ke Hospital Serian untuk dibedah siasat.
Ketua Balai Polis Serian DSP Mohd Jamali Umi mengesahkan insiden tersebut. Kes itu diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.
Dalam kes berasingan, seorang pegawai keselamatan ditemui dalam keadaan tidak bernyawa ketika sedang bertugas di sebuah syarikat kargo di Jalan Pending, petang kelmarin.
Insiden itu disedari sekitar 7.30 malam oleh anak perempuannya bersama ahli keluarga lain yang pergi menghantar makanan ke-pada mangsa.
Mangsa, Suhaili Ugis dari Kampung Sri Maimunah Sungai Apong telah berkhidmat di syarikat itu selama lima tahun, sepatutnya be-kerja lebih masa pada malam tersebut.
Mereka seterusnya menghubungi ambulans dan polis. Mangsa yang disahkan meninggal dunia kemudiannya dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS). Kes itu juga diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan