Selasa, 7 Ogos 2012

Pejalan Kaki Ditemui Mati dalam Keadaan Otak Berkecai

Kakak mangsa tidak dapat menahan sebak 

KUCHING: Seorang pejalan kaki ditemui mati dalam keadaan ngeri apabila otaknya berkecai dalam satu insiden langgar lari di Jalan Batu Kitang, malam Ahad lepas.

Dalam kemalangan sekitar jam 11 malam itu, Mohammad Julaihi dari Kampung Haji Baki dikatakan dalam perjalanan balik ke rumahnya dari Pasar Batu Tujuh, Kota Sentosa.

Lelaki berusia 40 tahun itu dipercayai dirempuh sebuah kereta, yang tidak dikenal pasti jenis dan nombor pendaftarannya, dari arah bertentangan.

Pengguna jalan raya yang melihat badan Mohammad terkunjur di atas jalan raya kemudiannya menghubungi polis dan ambulans.

Mangsa yang belum berkahwin itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Ahli keluarganya kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya berhubung insiden tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Pauzi Bujang yang mengesahkan kes itu memberitahu, setakat ini tidak ada saksi bebas yang tampil memberi maklumat.

Pihak polis memohon sesiapa yang mempunyai maklumat atau saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan. Kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 - Utusan Borneo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan