Isnin, 6 Ogos 2012

Lelaki Warga Indonesia Ditemui Mati Dibunuh Di Bilik Tidurnya


SIBU: Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati dipercayai dibunuh di bilik tidurnya, di asrama pekerja Rantau Panjang.

Mangsa dikenali sebagai Hartono, 25, berasal dari Sambas, Indonesia dan telah bekerja di sebuah limbungan sejak dua tahun lalu.

Terdahulu mayat mangsa ditemui rakan sekerjanya, sekitar jam 2.30 petang semalam dalam keadaan berlumuran darah. Difahamkan terdapat beberapa kesan tikaman di badan mangsa termasuk di bahagian perut dan dada. Sebelum kejadian, mangsa bekerja syif pagi iaitu dari jam 7 pagi hingga 11 pagi sebelum berhenti rehat.

Sementara itu, Ketua Polis Sibu ACP Shafie Ismail ketika ditemui di tempat kejadian menjelaskan pihaknya masih lagi menjalankan siasatan.

“Kami masih belum dapat pastikan punca sebenar kejadian dan siasatan lanjut sedang dilakukan. Terdahulu kami menerima panggilan kecemasan sekitar jam 2.45 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian,” ujar beliau.

Dianggarkan kira-kira 20 anggota polis pelbagai pangkat bergegas ke tempat kejadian. Dalam pada itu, mayat mangsa telah dibawa ke rumah mayat Hospital Sibu untuk bedah siasat.

Kira-kira 300 pekerja warga asing bekerja di limbungan berkenaan yang telah dibuka sejak beberapa tahun lalu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan