Isnin, 6 Ogos 2012

Nenek nyaris buta terkena percikan mercun

Kesakitan: Seorang nenek dikejarkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan lanjut.

KUCHING: Seorang warga emas nyaris hilang penglihatan mata kanan setelah terkena percikan, dipercayai tar yang pecah akibat letupan mercun, malam kelmarin. Insiden itu berlaku di Kampung Mang, Kota Samarahan selepas selesai berbuka puasa sekitar jam 7 petang.

Menurut anak mangsa, mangsa dan suaminya duduk di hadapan pintu sebelum berangkat balik ke rumah mereka di Kampung Buntal manakala cucu mangsa sedang bermain di pekarangan rumah.

Cucu mangsa yang ternampak mercun dilontar menerusi bawah kereta ke arah mereka, sempat memberi amaran kepada mereka.

Suami mangsa sempat memusingkan badannya manakala mangsa yang masih tergamam, tidak sempat berbuat apa-apa sehingga membawa kepada kecederaan itu.

Dalang insiden itu dipercayai dua cicit kepada abang mangsa, berusia 11 tahun yang kemudiannya terus melarikan diri sehingga gagal dikesan.

Mereka seterusnya membuat laporan polis berhubung insiden itu setelah mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak.

Dalam kejadian berasingan, hasrat seorang lelaki berusia 43 tahun untuk barbeku tidak kesampaian apabila mukanya melecur teruk ketika mahu menghidupkan api.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 6 petang di rumahnya, di Petra Jaya, muka lelaki berkenaan disambar api sebaik menuang minyak petrol ke dalam alat barbeku tersebut.

Mangsa bersama ahli keluarganya kemudian memandu ke HUS dan segera ditempatkan di Zon Merah, ditahan untuk rawatan dan pemerhatian lanjut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan