Isnin, 6 Ogos 2012

Padah Tiru Aksi Mat Rempit

Mayat Thomas dituntut oleh ahli keluarga dan saudara-maranya di HUS

KUCHING: Gara-gara cuba meniru aksi mat rempit, seorang remaja maut manakala rakannya kritikal selepas terbabit kemalangan di Jalan Mambong-Sarig, di Kota Padawan, dekat sini awal pagi semalam.

Kedua-dua mangsa dari Kampung Mambong dipercayai saling melanggar antara satu sama lain sehingga menyebabkan mereka terpelanting dari motosikal masing-masing.

Beberapa lagi rakan mangsa yang melihat kemalangan segera menghubungi abang mangsa, yang kemudiannya menghantar mangsa yang dikenal pasti sebagai Thomas Randy, 19, ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Bagaimanapun, Thomas yang masih menganggur meninggal dunia sebelum sempat tiba di hospital dipercayai akibat cedera parah di kepala dan badan selain hampir kehilangan biji mata sebelah kanan.

Manakala, Phil Udmond, 28, patah kaki kanan selain mengalami kecederaan di kepala menerima rawatan daripada pegawai perubatan sebelum dikejarkan ke HUS dengan menggunakan ambulans. Sehingga jam 12 tengah hari semalam, Phil dikatakan masih dalam keadaan koma.

Terdahulu sebelum insiden sekitar jam 1 pagi tersebut, Thomas menghadiri majlis makan malam amal anjuran gereja kampung itu bersama ahli keluarganya sebelum keluar bersama rakan-rakannya ke kampung berdekatan.

Menurut sepupu mangsa, mangsa sempat menyerahkan periuk nasi yang dimenanginya dalam cabutan bertuah kepada ibunya.

“Dia kelihatan ceria dan gembira pada majlis itu … tidak sangka pula dia akan meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya. Mayat Thomas dituntut oleh ahli keluarganya selepas bedah siasat untuk dikebumikan hari ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan