Pegawai perubatan cuba menyelamatkan mangsa ketika tiba di lokasi
KUCHING: Seorang lelaki dari Kampung Tabuan Lot, di sini maut setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah Proton Wira di Batu 6, Jalan Matang-Batu Kawa, awal pagi semalam.
Mangsa dikenal pasti sebagai Rosfaufandy Rosland yang dikatakan menuju ke arah Matang, mengalami kecederaan parah di kepala dan badan selepas terlambung beberapa meter ke udara manakala pemandu kereta dalam lingkungan usia 50-an hanya cedera ringan.
Mangsa, seorang buruh binaan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum sempat menyambut hari lahir ke-25 dalam tempoh kurang dua minggu iaitu pada 18 Ogos ini, kemudiannya dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.
Menurut abangnya, Rosfaundy yang masih bujang merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik. Katanya, keluarganya turut kehilangan adik bongsu dalam nahas jalan raya beberapa tahun lalu.
Bapa mangsa yang baharu dimaklumkan mengenai insiden itu setelah hari siang semalam, masih terkejut ketika tiba di HUS bagi menuntut mayat anaknya.
Sementara itu, dua pemandu Toyota Vios dan Toyota RAV4 semalam bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius setelah kedua-duanya terjunam ke dalam parit konkrit berhampiran kawasan perumahan di Jalan Sultan Tengah.
Kemalangan sekitar tengah malam itu berlaku selepas RAV4 yang hilang kawalan merempuh Vios sehingga terbabas ke dalam parit.
Anggota bomba dan polis turut berada di tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan