Selasa, 23 Oktober 2012

Lelaki Cederakan Dua Lelaki Direman Empat Hari


MIRI: Seorang lelaki yang ditangkap kerana disyaki dengan sengaja mencederakan dua lelaki lain diperintahkan Mahkamah Majistret petang semalam supaya direman empat hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mohd Redza Azhar Rezali setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat Inspektor Mansur Rahman dari Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya, Mansur memberitahu bahawa suspek yang bersenjatakan sebilah samurai telah bertindak menetak dua lelaki masing-masing berusia lingkungan 20-an dalam satu pergaduhan yang berlaku sekitar jam 2 pagi, 21 Oktober lalu di kawasan Pelita Commercial Centre di sini.

Akibat tetakan itu, kedua-dua mangsa telah mengalami kecederaan masing-masing di bahagian tangan dan muka.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 1 pagi semalam, polis telah berjaya menangkap suspek di kawasan Jalan Jee Foh di sini kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Dalam permohonannya, Mansur memberitahu reman selama tujuh hari mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek yang berusia lewat 30-an amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk me-rampas senjata yang digunakan dalam kes ini, merakam percakapan berhemat suspek dan membebaskan dia lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman empat hari dan memerintahkan suspek dihadapkan semula ke mahkamah pada 26 Oktober ini untuk sebutan kes.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan