Gambar Hiasan
PENAMPANG: Bau busuk dari sebuah rumah di Ranfield Court sejak lima hari lepas yang menimbulkan tanda tanya kepada para penghuni akhirnya terbongkar dengan penemuan mayat seorang lelaki warga Amerika Syarikat di sini kelmarin.
Mangsa yang merupakan warga emas berusia 60an dikenali sebagai Thomas Whatley itu difahamkan telah menyewa kediaman berkenaan sejak enam bulan lalu.
Menurut seorang pengawal keselamatan yang hanya mahu dikenali sebagai Sanusi, 19, dia telah menerima aduan daripada jiran mangsa dengan mengatakan menghidu bau busuk dari rumah berkenaan sejak beberapa hari lepas.
“Jiran-jiran mangsa telah mengadukan terhidu bau busuk yang datang dari arah tingkat tiga kediaman mangsa dan berasa curiga akan situasi itu.
“Kami kemudiannya bertindak memaklumkan kepada pemilik rumah terbabit untuk membuka kunci pintu dan terperanjat dengan penemuan mayat penyewa,” katanya ditemui dalam insiden jam 2 petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Jelasnya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut.
“Hasil siasatan awal kita mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku dalam insiden ini. Polis mengklasifikasikan kejadian ini sebagai kes mati mengejut,” katanya.
Bagaimanapun, Ratan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil ke balai terdekat bagi membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan