Isnin, 5 November 2012

10 Anggota Bomba Disambar Api

Azmi melawat anggotanya yang parah di hospital

Seorang anggota bomba berada dalam keadaan cemas

KOTA BHARU - Operasi memadam kebakaran oleh sepasukan anggota bomba di sebuah kilang tayar yang tidak beroperasi di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa dekat sini bertukar malang apabila 10 orang daripada mereka mengalami kecederaan.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 8 pagi semalam apabila sebuah tangki minyak silinder yang terletak di bahagian belakang kilang tersebut tiba-tiba meletup sehingga menyebabkan api menyambar anggota terbabit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman memberitahu, ada empat tangki minyak silinder di tempat tersebut dengan dua daripadanya mengalami kebocoran dan terbakar dengan salah satu daripadanya meletup.

"Minyak silinder yang berada di dalam dua buah tangki tersebut bocor dan tumpah sebelum mengenai api yang masih menyala menyebabkan kebakaran menjadi marak sehingga api tersebut menyambar 10 anggota kita yang sedang berusaha memadamkan kebakaran.

"Tujuh daripada anggota yang cedera dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian manakala, selebihnya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, dekat sini. Lima daripada mereka melecur dengan agak serius," katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika operasi memadam kebakaran tersebut hampir selesai.

Sebelum itu, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.11 pagi dan seramai 39 pegawai dan anggota bersama lima buah jentera dari Balai Bomba Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Darulnaim dan Tunjung telah dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurut Azmi, antara kecederaan yang dialami anggotanya ialah melecur pada muka, tangan, leher dan badan.

Pegawai dan anggota bomba yang mengalami kecederaan serius ialah Pegawai Kanan Bomba I (PBK I), Abdullah Din Mohamed; PBK II, Nazah Nafi; Pegawai Bomba (PB), Wan Asri Wan Yaacob, PB Zulkifli Mahmad dan PB Abdul Razak Abdullah.

Sementara itu, lima lagi yang mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Unit Pesakit Luar ialah Penguasa Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Kelantan, Shahrin Yusmar Mat Yusoff, PB Mohd. Zakee Daud, PB Rohanizam Othman, PB Mohd. Fathir Mohd. Jusoh dan PB Mohd. Shaiful Fitri.

Sementara itu, pemilik kilang berkenaan, Ong Cheok Hong, 38, berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh pekerjanya kira-kira pukul 8.10 pagi dan terus menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

Jelasnya, gudang tersebut sebelum ini digunakan untuk aktiviti mencelup tayar terpakai sebelum operasi kilang tersebut dipindahkan ke Lembah Klang sejak beberapa bulan lalu dan gudang tersebut kini hanya dijadikan pusat servis tayar sahaja.

"Ketika ini saya hanya mempunyai lima orang pekerja dan kesemua mereka tidak mengalami kecederaan," ujarnya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan