KUALA LUMPUR – Pelakon Ana Dahlia, 29, yang sah bercerai dengan chef selebriti, Chef Riz setelah hubungan mereka dikatakan sudah tiada sefahaman lagi, menyatakan dirinya masih belum terfikir untuk mencari pengganti dalam masa terdekat ini.
Menurut Ana Dahlia, buat masa ini, dia tidak akan berfikir untuk berkahwin lain dan tidak mahu memikirkan apa-apa berhubung perkara itu.
“Penceraian itu berlaku atas ketentuan Tuhan, maaf saya tidak mahu komen apa-apa lagi,” ujarnya.
Chef Riz, 30, atau nama sebenarnya, Mohd. Nadzri Datuk Redzuawan mengesahkan bahawa dia sudah bercerai dengan isterinya, Ana Dahlia, 29 yang dinikahinya pada 1 Disember 2011.
Chef Riz dalam laporan tersebut mengakui perceraian tersebut adalah disebabkan hubungannya dengan Ana Dahlia sudah tiada sefahaman selain menyesal mengambil keputusan untuk berkahwin dalam masa singkat perkenalan mereka.
Bapa kepada Chef Riz iaitu Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan menyatakan dirinya sedih atas perceraian itu kerana dia sudah menganggap Ana Dahlia seperti anaknya sendiri dan berharap pasangan itu boleh rujuk semula dalam tempoh edah yang berakhir Disember depan.
Dalam pada itu, Ana Dahlia yang merupakan pelakon filem Mantra memberitahu, fokusnya kini hanya dalam bidang lakonan kerana kerjaya itu adalah sumber pendapatan kepada dirinya.
“Saya enggan komen benda lain, bilakah saya bercerai biarlah kami sahaja yang tahu,” ujarnya ringkas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan