MIRI: Kira-kira sepuluh keluarga masing-masing merupakan manga ribut pada penghujung Oktober lalu menerima bantuan terhad daripada Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri (LAKMM), semalam.
Majlis ringkas penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang yang juga merangkap Timbalan Pengerusi LAKMM.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Lai memberitahu bantuan itu adalah sebahagian daripada program kemasyarakatan LAKMM bagi membantu meringankan beban mangsa ribut.
“Kita berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mangsa selepas rumah mereka rosak teruk akibat ribut kuat penghujung bulan lalu,” katanya di sini semalam.
Beliau memberitahu, LAKMM bukan sahaja memainkan peranan dalam membantu mangsa ribut sebaliknya turut membantu orang ramai yang ingin melanjutkan pelajaran.
“Kita (LAKMM) sentiasa mencari ruang dan peluang untuk membantu mereka yang memerlukan sama ada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran atau sebagainya,” katanya.
Hadir sama Timbalan Datuk Bandar Miri Mohd Chee Kadir, Temenggong Abdul Rahman Fadzil, Setiausaha Eksekutif LAKMM dan Ketua Kaum Kampung Pujut Padang Kerbau, Usman Sulaiman.
Sementara itu, kesemua mangsa ribut terbabit masing-masing menerima RM300 daripada LAKMM pada majlis sumbangan tersebut yang diadakan di Surau An-Nur Kampung Pujut Padang Kerbau semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan