Khamis, 15 November 2012

Dipenjara Kerana Simpan Pakaian Curi

Gambar Hiasan

MIRI: Seorang pemuda terpaksa meringkuk di penjara selama dua bulan, gara-gara menyimpan pakaian curi.

Mat Abdul Rahman, 20, dari Kampung Lopeng Tengah di sini didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati dengan sengaja menerima atau menyimpan harta curi iaitu 26 helai baju wanita dan sebuah beg berwarna merah bertulis Eastern Tours Sdn Bhd kepunyaan Rasa Sayang Trading yang diletakkan di bawah jagaan Chia Yuk Kin.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.30 malam, 8 November lalu di Tamu Kedayan, Jalan Melayu di sini.

Di hadapan Mahkamah Majistret semalam, tertuduh merayu hukuman yang ringan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.

Dalam kes berasingan, seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret semalam kerana kesalahan berniaga harta curi. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah menimbangkan beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Macperhson Mike Joshua Michael, 21, dari Permyjaya di sini didakwa mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati dengan sengaja berniaga harta curi iaitu 26 helai baju wanita dan sebuah beg merah bertulis Eastern Tours Sdn Bhd kepunyaan Rasa Sayang Trading.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.30 malam, 8 November lalu di Tamu Kedayan, Jalan Melayu di sini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan