Sabtu, 17 November 2012

Dirompak Di Tandas Terminal Bas


KUCHING: Seorang ahli perniagaan awal pagi semalam membuat laporan polis mendakwa telah dirompak ketika menggunakan tandas di sebuah terminal bas di Jalan Penrissen di sini kelmarin.

Ekoran itu, mangsa yang berusia 30-an itu melaporkan kehilangan beberapa dokumen peribadi termasuk sekeping cek bernilai lebih RM10,000 serta wang tunai RM1,500 dan beberapa keping wang kertas matawang asing.

Menurut sumber, mangsa pada mulanya telah mengunjungi terminal bas tersebut yang juga merupakan sebuah lokasi beli-belah sekitar jam 11 malam.

Mangsa kemudian dikatakan telah memasuki sebuah tandas awam di stesen bas tersebut sebelum menyedari dia telah diekori seorang lelaki yang tiba-tiba bertindak mengacukan benda tajam di belakang badannya.

Lelaki terseburt selepas itu dikatakan telah mengarahkan mangsa menyerahkan dompetnya dan mengugut akan mencederakan mangsa sekiranya permintaannya itu tidak dipenuhi.

Risau akan keselamatannya mangsa bersetuju untuk menyerahkan dompetnya kepada suspek. Sejurus memperolehi dompet mangsa, suspek dikatakan terus melarikan diri dari tempat kejadian.

Mangsa yang masih trauma dengan insiden tersebut kemudian segera melaporkan perkara tersebut di balai polis berhampiran.

Siasatan polis berhubung kejadian masih dijalankan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan