Selasa, 13 November 2012

Dua Inspektor Polis Minta Dibicarakan


KUCHING: Dua inspektor polis yang didakwa menyebabkan kecederaan suspek kes curi minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Tertuduh berusia 30 tahun dan 32 tahun itu dihadapkan di hadapan Hakim Amelati Parnell yang melepaskan kedua-duanya dengan ikat jamin mahkamah RM10,000 dengan dua penjamin yang pendapatannya tidak kurang daripada RM1,500 sebulan dan menetap di Kuching, sehingga kes itu selesai dibicarakan.

Sebutan semula kes akan dilakukan pada 11 Disember ini manakala tarikh perbicaraan ditetapkan pada 28 dan 29 Januari 2013.

Mereka didakwa mencederakan mangsa yang berusia 29 tahun di bangunan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak kira-kira jam 7 malam pada 4 November 2012.

Kedua-dua inspektor terbabit didakwa di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tujuh tahun dan denda.

Semalam Hakim Amelati membenarkan permohonan peguam tertuduh Shankar Ram Asnani agar wartawan tidak mendedahkan nama-nama pelanggannya.

“Saya tidak kisah wartawan mahu melaporkan apa yang mereka mahu kecuali nama serta indentiti tertuduh begitu juga mangsa untuk keselamatan mereka.

“Ini adalah untuk keselamatan kedua-dua pegawai berkenaan dan mangsa.

“Mangsa bersama sekumpulan lelaki lain terlibat dalam satu pergaduhan di luar sebuah pusat hiburan dan kedua-dua pegawai polis ini cuba meleraikan keadaan tetapi mereka sebaliknya diserang serta dirompak,” jelasnya.

Pada dasarnya adalah lebih baik dan sesuai identiti mereka dirahsiakan, katanya sambil menambah mereka ada bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di situ yang merakamkan bagaimana kejadian itu berlaku.

Shankar juga menggesa mahkamah mengenakan ikat jamin yang ringan memandangkan kedua-dua pegawai polis berkenaan antara mangsa yang diserang kumpulan berkenaan dengan Jabatan Siasatan Jenayah berminat membersihkan nama mereka dan tiada alasan untuk mereka melarikan diri.

Mengenai isu lain dibangkitkannya ialah peguam pemantau keluarga mangsa.

“Mana-mana peguam keluarga mangsa tidak seharusnya campur tangan melainkan dibenarkan oleh undang-undang iaitu kebenaran daripada peguam negara,” tegas Shankar.

Dalam pada itu peguam Wong King Wei dilantik sebagai peguam keluarga mangsa sebagai pemerhati. Hadir sama di mahkamah semalam ialah ahli keluarga mangsa.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan