
BETONG: Empat sekeluarga ditemui mati dipercayai sejak beberapa hari lalu di sebuah rumah di Kampung Lubuk Chepung, Pusa, dekat sini petang semalam.
Mangsa, si suami dikenalpasti sebagai Zaidi Pandi, 62, dan isterinya Saimah, 53, serta dua anak Noratikah, 20, dan Mohd Khaizel, 27.
Sumber memberitahu mayat-mayat mangsa yang sudah busuk dan dihurungi lalat ditemui oleh seorang saudara mangsa kira-kira jam 5.30 petang dan terus menghubungi polis.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis masih menyiasat punca kematian.
“Setakat ini kita tidak dapat mengesahkan sama ada ia kes bunuh, bagaimanapun kita akan menjalankan siasatan dari semua aspek,” kata Acryl semasa dihubungi.
Beliau menambah, barang kemas mangsa tidak hilang dari tempat kejadian dan beliau percaya insiden tersebut bukan berunsur rompakan.
“‘Kita percaya keempat-empat mangsa telah meninggal dunia sejak tiga atau empat hari lepas berikutan keadaan mayat mangsa yang berbau busuk,” katanya.
Sepasukan unit forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak dikejarkan ke tempat kejadian untuk menjalankn siasatan.
Mayat keempat-empat mangsa dihantar ke Hospital Betong untuk bedah siasat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan