Keluarga-keluarga jemaah menunggu di luar balai ketibaan
KUCHING: Seramai 447 jemaah haji selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) kira-kira jam 9.45 pagi semalam dengan menggunakan pesawat MH 8233 dari Mekah.
Ketibaan jemaah yang keluar dari balai ketibaan sekitar jam 11 pagi disambut oleh ahli keluarga dan saudara-mara masing-masing yang sudah kelihatan di LTAK lebih awal.
Salah seorang jemaah haji, Masni Kandak, 70, memberitahu, biarpun tidak sihat ketika menunaikan ibadat tersebut, keadaan itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan hingga selesai.
Beliau yang berasal dari Saratok terpaksa menggunakan bantuan kerusi roda untuk bergerak dan terpaksa dimasukkan ke hospital selama beberapa hari ketika berada di Mekah.
Katanya walaupun agak risau kemungkinan tidak dapat menyempurnakan ibadat itu pada awalnya, beliau kini bersyukur kerana akhirnya semua berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.
“Saya bersyukur kerana selamat tiba di tanah air dan dapat bertemu kembali dengan keluarga setelah lebih sebulan di Mekah,” katanya ketika ditemui di LTAK, di sini, semalam.
Seorang lagi jemaah, Sabariah Bunsu, 70 tahun berkata, beliau bersyukur kerana hasrat untuk mengerjakan haji akhirnya kesampaian.
“Saya bersyukur kerana anak dan menantu yang menemani saya bersabar menyorong (kerusi roda saya) ketika berada di sana dan alhamdulilah, sepanjang waktu di sana saya sihat,” katanya.
Manakala Aziz Morshidi yang turut ditemani isterinya, Latifah Othman untuk mengerjakan haji mengucapkan setinggi penghargaan kepada Tabung Haji. Menurutnya, urusan di sana semuanya berjalan lancar.
“Kecekapan kakitangan Tabung Haji harus dipuji kerana mereka memastikan ibadat kami lancar.
Jemaah semalam merupakan yang pertama tiba manakala jemaah kedua dijangka akan pulang pada 22 November ini.
Sementara itu pada 8 November lalu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman memberitahu bahawa dua daripada 650 jemaah dari Sarawak yang ke Mekah tahun ini meninggal dunia di Tanah Suci.
Menurutnya, seorang adalah wanita dari Niah, Miri manakala seorang lagi lelaki dari Lundu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan