Sabtu, 10 November 2012

Lapan Sungai Catat Paras Bahaya

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Paras air di lapan sungai di negara ini dikesan melebihi paras bahaya dan berkemungkinan mengakibatkan banjir sekiranya hujan berterusan di kawasan berkenaan.

Sungai tersebut adalah Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Damansara di Selangor, Sungai Linggi dan Sungai Muar di Negeri Sembilan, Sungai Simpang Kiri di Johor dan Sungai Selangau di Sarawak.

Pengarah Bahagian Hidrologi dan Sumber Air, Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Hanapi Mohamad Noor berkata, kuantiti hujan yang turun antara 30 hingga 50 milimeter (mm) di kawasan berkenaan menjadi punca kejadian itu.

“Sekiranya hujan melebihi 100mm hari ini (semalam), limpahan air sungai pasti akan berlaku dan seterusnya mengakibatkan banjir di kawasan tersebut.

“Tidak mustahil banjir akan berlaku dalam tempoh enam hingga 24 jam daripada waktu paras air dikesan iaitu sekitar pukul 6 petang,” katanya semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, impak lebih buruk daripada banjir kilat dijangka akan berlaku sekiranya limpahan air sungai berlaku.

Ini kerana, menurut Hanapi, kuantiti air yang banyak akan mengakibatkan tempoh banjir berlarutan sehingga lebih daripada sehari malah impaknya akan dirasai lebih ramai penduduk.

“Situasi ini berbeza dengan banjir kilat yang hanya berlaku untuk tempoh beberapa jam.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga dan mengutamakan nyawa dalam apa juga situasi,” katanya.

Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan akan berlaku banjir besar jika hujan turun melebihi 200 hingga 300mm sehari sebagaimana yang berlaku di Kota Tinggi, Johor tahun lalu.

“Kita dapati negeri Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Perak dan Sarawak menerima kuantiti hujan yang agak tinggi dalam sehari.

“Bagi menangani berlakunya bencana banjir, pihak kami sentiasa menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain agar dapat memberikan bantuan pada bila-bila masa yang diperlukan,” katanya.

Keadaan pergerakan angin di enam buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Pahang dan Sarawak mencacat kelajuan di sekitar 20 hingga 50 kilometer sejam di beberapa kawasan perairan. Antaranya kawasan perairan Reef North, Reef South, Tioman dan Kuching.

Sementara itu, purata taburan hujan bagi kesemua negeri yang terbabit pula menunjukkan sekitar 0 hingga 35 milimeter sehari dan meliputi beberapa kawasan misalnya Ipoh, Petaling Jaya, Subang, Kluang, Temerloh dan Mulu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan