Seorang pengguna jalan raya menjalani pemeriksaan alkohol
KUCHING: Gara-gara ingin mengelak sekatan jalan raya di Jalan Batu Kawa MJC malam kelmarin, dua lelaki sanggup bertindak melompat dari motosikal masing-masing dan melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran bekas stesen pemancar RTM.
Punca tindakan umpama ‘membunuh diri’ itu bagaimanapun terjawab apabila Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad memberitahu hasil pemeriksaan mendapati rupa-rupanya kedua-dua motosikal itu adalah motosikal curi.
Operasi yang turut dijalankan di Jalan Laksamana Cheng Ho dan Jalan Batu Kawa MJC itu, katanya, menyaksikan kira-kira 140 kenderaan diperiksa dengan 67 daripadanya adalah motosikal.
“Kita berjaya menangkap tujuh individu yang mana enam daripadanya positif alkohol dan semua dibebaskan dengan jaminan polis dan turut merampas tujuh buah motosikal.
“Ini termasuk dua buah motosikal dicuri di mana penunggangnya melompat meninggalkan motosikal dan berjaya melarikan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas Ops Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching Siri Ke-6 yang bermula jam 10 malam kelmarin hingga 3 pagi semalam yang dianggotai lebih 200 anggota termasuk pegawai kanan.
Hadir sama, Timbalan KPD Kuching Superintenden Pauzi Bujang dan Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching ASP Abdul Rahim Abdullah.
Roslan berkata, polis turut mengeluarkan sebanyak 28 saman atas pelbagai kesalahan seperti tidak ada lesen memandu, tidak ada cukai jalan dan perlindungan insurans serta kenderaan diubah suai.
Operasi turut melibatkan pemeriksaan ke atas beberapa pusat hiburan di kawasan pusat komersil Premier 101, Sekama dan MJC. Menurutnya, seramai 64 orang menjalani pemeriksaan, manakala 27 orang didokumentasikan.
“Keputusan ujian air kencing terhadap 27 individu itu bagaimanapun negatif kesemuanya,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan