Jumaat, 2 November 2012

Mayat Seorang Pekerja Bot Ekspres Ditemui

Gambar Hiasan

MARUDI: Mayat seorang pekerja bot ekspres yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Baram ke Marudi pagi Isnin lalu telah ditemui terapung berhampiran tebing Sungai Baram oleh pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada pekerja syarikat berkenaan pada jam 7.30 pagi kelmarin.

Mayat mangsa ditemui di Lubok Tapang tidak jauh dari rumah panjang Lubok Amam iaitu lokasi terakhir mangsa dilihat oleh rakan sekerjanya pada hari tersebut, iaitu kira-kira 45 minit perjalanan dengan perahu dari sini.

Pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemui mayat mangsa setelah mereka siang malam mengadakan pencarian di tebing Sungai Baram, sambil dibantu oleh dua anak lelaki mangsa yang terlalu hiba apabila melihat mayat ayah mereka.

Turut serta dalam pasukan mencari dan menyelamat mangsa selama dua hari yang lalu ialah polis, bomba dan Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSSS)

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Hwang Huat Yeou, 53, merupakan ketua kru kepada Syarikat Soon Hong Express yang berlepas dari jeti bot ekspres Kuala Baram pada jam 8.00 pagi hari kejadian (Isnin) dan tiba di Terminal Ekspres Marudi di sini pada jam 11.40 pagi, namun tidak menemui mangsa dalam bot tersebut.

Kru bot yang mencarinya kemudian mengesyaki mangsa mungkin terjatuh ke dalam sungai memandangkan dia mempunyai sejarah ada mengalami tekanan darah tinggi dan mudah pitam.

Menurut abangnya, Hwang Huat Ming yang sempat ditemui memberitahu bahawa adiknya memang pandai berenang tetapi mungkin mangsa berasa pening kepala semasa terjatuh.

Sementara itu, mendiang Hwang Huat Yeou meninggalkan seorang isteri dan empat anak, tiga lelaki dan seorang perempuan.

Dua hari lepas, pasukan penyelamat turut sama membantu mencari mangsa.

Mayat mangsa telah dibawa dengan bot bomba ke Marudi dari lokasi tersebut dan terus dibawa ke Hospital Marudi untuk dibedah siasat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan