Jumaat, 2 November 2012

Modul Atasi Gemuk PLKN Bermula 2013


KULIM – Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan memperkenalkan modul baharu bagi mengatasi obesiti serta memastikan pelatih mempunyai berat badan yang ideal.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, modul dikenali ‘Gaya Hidup Sihat’ itu akan diperkenalkan untuk Kumpulan 2 Siri 1/2013 yang bermula awal tahun depan.

Katanya, modul itu sebelum ini dilaksanakan secara percubaan terhadap 1,000 pelatih Siri 8 dan 9/2012 dengan hasil menunjukkan 504 orang turun berat badan dan 487 lagi yang kurus bertambah berat badan.

“Kajian ini dilaksanakan oleh JLKN dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak atas arahan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” kata Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja dan pemantauan Latihan Menembak Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kumpulan 3 Siri 9/2012 di Kem PLKN Seri Impian, Sungai Bakap, Seberang Perai di Lapang Sasar Batalion Dua Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini semalam.

Katanya, tempoh kajian itu selama 10 minggu bermula minggu pertama pelatih melapor diri mengikuti latihan dan setiap sesi mengambil masa dua hingga tiga jam sehari.

Bagaimanapun, program ini akan hanya dilaksanakan di beberapa kem PLKN terpilih, manakala jurulatih terbabit telah mula menjalani latihan yang diperlukan, tambahnya.

Abdul Hadi berkata, program modul tersebut diharap dapat membantu kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan untuk menggalakkan rakyat menjalani gaya hidup sihat.

Mengenai latihan atau aktiviti dalam air, beliau berkata, JLKN melarang sama sekali latihan dalam sungai namun aktiviti itu dibenarkan jika dijalankan di dalam kolam renang. – Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan