Obama dan isterinya meraikan kemenangan di Chicago semalam
WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kelmarin berjanji untuk melakukan pembaharuan selepas dia memenangi pilihan raya presiden AS.
Presiden yang ke-44 itu menyatakan demikian ketika berucap pada perhimpunan kemenangannya di Chicago selepas keputusan pilihan raya diketahui.
"Pada malam tadi, anda mengundi untuk tindakan bukan dasar seperti kebiasaannya. Dalam tempoh beberapa minggu dan bulan, saya memandang ke hadapan untuk bekerja dengan para pemimpin daripada pelbagai pihak untuk menemui cabaran baharu yang akan kita selesaikan bersama, mengurangkan defisit, memperbaharui kod cukai dan memperbaiki sistem imigresen," kata Obama.
Beliau juga meminta penduduk AS untuk terus menyimpan harapan tentang masa depan AS.
"Saya meminta anda untuk meneruskan harapan itu. Saya selalu percaya bahawa harapan merupakan suatu perkara yang degil di dalam diri kita yang wujud," tambahnya.
Pencabar Obama, bekas gabenor Massachusetts, Mitt Romney mengaku kalah pada pilihan raya itu.
"Ini merupakan waktu cabaran hebat untuk negara kita. Saya berdoa presiden akan berjaya mengetuai negara kita," katanya.
Sementara itu, pergerakan Taliban semalam meminta Obama menumpukan masalah di dalam negaranya dan menarik semua anggota tenteranya dari Afghanistan dengan segera.
"Obama menyedari bahawa Amerika letih dengan peperangan dan kos perang itu. Beliau perlu menarik semua anggota tentera dari negara kita dengan segera bagi mengelak lebih ramai anggota tentera Amerika," kata jurucakap Taliban, Zabiulla Mujahid dalam satu kenyataan.
Terdapat 67,000 anggota tentera AS yang menentang anggota Taliban. Lebih 2,000 anggota tentera AS terbunuh sejak 2001 di Afghanistan. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan