Nur Irisyafida Balkis
BATU PAHAT – Seorang penganggur berdepan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan atas dakwaan membunuh seorang bayi perempuan yang merupakan anak kepada teman wanitanya pada 10 Oktober lalu.
Soo Lik Duo, 34, yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amalia Marsita Hamdan.
Lik Duo didakwa membunuh Nur Irisyafida Balkis Abdul Lazim, lapan bulan, antara pukul 3 petang hingga 8 malam di sebuah rumah di Taman Bistari, Tongkang Pechah di sini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Tertuduh turut didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan yang dijumpai atas siling ruang dapur di rumah yang sama pada pukul 4.10 pagi. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM5,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Farhana Adham manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Amalia menetapkan 10 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan