MARUDI: Dua lelaki warga Indonesia terbunuh dalam satu pergaduhan yang dipercayai membabitkan perkauman di Pekan Beluru, Bakong dekat sini, awal pagi semalam.
Pergaduhan di antara kaum Bugis dan Sambas itu melibatkan antara 30 dan 40 orang yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit di Kilometer 6, Jalan Miri-Bakong pada jam 1.30 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Baram, DSP Abu Bakar Sebau yang bergegas ke tempat kejadian semalam memberitahu, pergaduhan mungkin tercetus daripada salah faham antara kedua-dua kaum terbabit yang bekerja di ladang tersebut.
Dua mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Kelleng Asmi (Sambas), berusia 27 tahun sementara seorang lagi mangsa, Tindang Soro (Bugis), 29.
Dalam kejadian sama, tiga lagi mangsa mengalami kecederaan. Abu Bakar mengesahkan, setakat ini empat orang telah ditahan untuk membantu siasatan.
Menurut beliau, kedua-dua mayat telah dibawa ke Hospital Miri semalam untuk dibedah siasat sementara tiga mangsa yang cedera dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan susulan.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, mengenai perkembangan kes rompak yang melibatkan RM1.35 juta di Kilometer 8, Jalan Beluru-Lapok pada 6 November lalu, Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohd Roslan memberitahu dua daripada tiga lelaki berketurunan India yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan kelmarin, manakala seorang dibebaskan semalam.
Katanya, hanya seorang sahaja yang masih ditahan reman iaitu pemandu kenderaan dan polis masih menjalankan siasatan terhadapnya.
Mohd Roslan ketika ditemui memberitahu, pasukan polis dari Bukit Aman turut menggunakan alat khas iaitu Digital Voice Stress Analyzer (DVSA) untuk membantu siasatan.
Alat itu boleh membantu menyiasat mengesan sama ada maklumat yang disebut oleh tertuduh adalah benar atau sebaliknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan