Selasa, 13 November 2012

Seorang Lagi Suspek Kes Rompakan Ditangkap


MIRI: Polis berjaya menangkap seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes rompakan wang tunai RM1.35 juta, di Batu Niah dekat sini, semalam.

Penangkapan suspek kedua dibuat susulan siasatan lanjut ke atas pemandu kenderaan pacuan empat roda (4WD), yang juga suspek pertama dalam kes ini.

Menurut jurucakap polis, suspek kedua ditahan sekitar jam 1 petang semalam, bagaimanapun wang tunai tidak ditemui bersama suspek namun polis percaya akan menemui bahan bukti berkaitan dalam masa terdekat ini.

Pada Sabtu lalu, polis membebaskan dua lelaki berketurunan India yang ditahan dan seorang lagi dibebaskan pada Ahad, manakala pemandu atau suspek pertama masih ditahan reman oleh polis kerana disyaki bersubahat dengan perompak atau suspek kedua. Reman terhadap suspek berakhir hari ini.

Menurut jurucakap itu lagi, pihak polis telah menggunakan satu alat khas untuk membantu siasatan mereka iaitu DVSA (Digital Voice Stress Analyzer) hingga tertangkapnya suspek kedua hasil maklumat yang diperolehi.

Dalam kejadian rompakan di KM8 Jalan Beluru-Lapok pada 6 November lalu, sebuah beg berisi wang tunai berjumlah RM1.35 juta yang diletakkan di bahagian tempat duduk belakang kenderaan 4WD yang dipandu oleh suspek pertama telah dilarikan oleh perompak yang dianggarkan seramai tujuh hingga lapan orang.

Perompak telah bertindak memecahkan cermin belakang kenderaan tersebut sebelum melarikan wang tunai berkenaan.

Wang tunai milik kontraktor kepada sebuah syarikat minyak multinasional yang terbabit dalam kerja-kerja pembinaan saluran paip gas di Beluru, merupakan gaji pekerja-pekerjanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan