Ting (duduk tengah) bersama para pemimpin masyarakat di Miri
MIRI: Sistem pemberitahuan online Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Miri yang diperkenalkan oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) adalah yang terbaik di Sarawak.
Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Sebastian Ting berkata sistem akan diteruskan untuk BR1M 2.0 sebagai memudahkan pemohon memperoleh maklumat tentang status bantuan mereka.
Ting menambah, SUPP menawarkan khidmat berkenaan di laman web mereka di mana pemohon boleh mengetahui status permohonan dengan hanya mengemukakan nombor kad pengenalan.
Laman web itu dibuka khas untuk pemohon BR1M 1.0 di kawasan Ahli Parlimen Miri yang juga Pengerusi SUPP Sarawak, Datuk Peter Chin Fah Kui.
“Perkhidmatan ini menjadikan SUPP begitu popular sekali dari segi ‘hit’ (pengunjung web). Sejak dibuka, kita menerima sebanyak 50,000 ‘hit,’ bertambah kepada 100,000 ‘hit’ dan mencecah sehingga 700,000 ‘hit.’
“Oleh itu, melihat kepada populariti ini, kita (SUPP) akan terus menawarkan khidmat ini kepada pemohon BRIM2.0,” jelas Ting yang juga merupakan Pengerusi SUPP Piasau.
Beliau berkata demikian ketika menemui para Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Miri petang semalam yang turut dihadiri oleh wakil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ting memberitahu, pengagihan BR1M yang mendapat sambutan menggalakkan oleh rakyat adalah tanda keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap kebajikan rakyat.
Selain itu, sumbangan bantuan RM250 untuk golongan bujang berusia 21 tahun ke atas dalam BR1M 2.0 juga tanda sokongan kerajaan membantu golongan muda.
Ting turut berterima kasih kepada media di sini kerana membantu memaklumkan kepada penduduk tentang perkembangan BR1M.
Pegawai Daerah Miri, Boniface Intang Apat memberitahu, ketua masyarakat dan ketua kaum memainkan peranan penting dalam menerangkan kepada penduduk tentang pemohonan bantuan itu.
“Bukan hak kita (Pejabat Daerah), Pemanca atau Ketua Kaum untuk menolak permohonan mereka. Ianya (menolak permohonan) adalah hak LHDN. Kita mahu mereka yang layak tidak terhalang menerima bantuan ini. Kita membantu mereka, bukan menghalang mereka dari mendapat bantuan,” katanya.
Sebarang maklumat tentang BR1M 2.0 boleh menghubungi talian hotline 1800-222-500 dan 1800-882-716.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan