Sabtu, 10 November 2012

Wanita 61 Tahun Di Hukum Penjara

Mak Gonda

KOTA KINABALU: Seorang wanita tempatan berusia 61 tahun dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kelmarin atas kesalahan memperdagangkan seorang remaja perempuan bagi tujuan eksploitasi.

Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum mengenakan hukuman itu terhadap Mak Gonda Ad Rahman, selepas membenarkan rayuan daripada pihak pendakwaan atas hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah rendah.

Richard dalam penghakimannya berkata, mahkamah memandang serius kesalahan berkenaan, yang mana berkaitan dengan eksploitasi.

Tambahnya, responden seharusnya melindungi mangsa dan aktiviti seumpama itu tidak mudah dikesan, oleh itu, hukuman harus ditingkatkan daripada dua tahun setengah kepada enam tahun.

Responden dijatuhkan hukuman penjara dua tahun setengah oleh Mahkamah Sesyen pada 9 Oktober tahun ini, selepas mengaku bersalah memperdagangkan mangsa berusia 13 tahun, pada 27 September lalu jam 2 petang, di sebuah bilik hotel, Jalan Hj Yaakub, Kg Air, di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda.

Terdahulu, responden merayu agar hukumannya diringankan kerana mengalami banyak penyakit. Menurutnya lagi, mangsa merupakan seorang budak peminta sedekah di Semporna, oleh itu dia telah mengambilnya kerana mangsa meminta pekerjaan.

Katanya, seminggu selepas itu, mangsa telah dikejar oleh anggota peronda dan memberitahunya dia ingin mengikutinya. Selepas itu, mangsa telah berjumpa dengan neneknya untuk memberitahu hal berkenaan.

Pihak perayu diwakili oleh Timbalan Pendakwaraya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin, manakala responden tidak diwakili peguam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan