Jumaat, 14 Disember 2012

Barang Tiruan Dirampas

Antara pelbagai jenis barang jenama Adidas dan Chelsea yang dirampas

MIRI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Miri berjaya merampas pelbagai barang jenama Adidas dan Chelsea bernilai RM25,000 yang disyaki tiruan dalam beberapa operasi di dua kawasan titik panas di sini petang semalam.

Menurut jurucakap kementerian terbabit, barangbarang yang dirampas terdiri daripada beberapa pasang selipar, beg sekolah, baju sukan dan tuala mandi.

Katanya sepasukan pegawai penguat kuasa yang terdiri daripada 12 orang dengan diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa Tingkat Kanan Dominic Joseph Bakir telah dibahagikan kepada dua kumpulan untuk melakukan serbuan ke atas 30 premis perniagaan di Jalan Raja dan dan Pusat Komersil emart, Tudan.

“Hasil serbuan itu, kami dapati 10 premis ada menawarkan penjualan pelbagai barang jenama Adidas dan Chelsea yang dipercayai tiruan.

“Justeru kami telah merampas kesemua barangan tersebut untuk dijadikan barang kes,” katanya pada sidang media yang diadakan di pejabat KPDNKK di sini semalam.

Katanya serbuan itu dibuat berikutan aduan yang diterima daripada Randall Gate Skill Riik Consultancy Sdn Bhd di Kuala Lumpur selaku pengedar sah barangan jenama Adidas dan Chelsea yang mendakwa terdapat beberapa premis perniagaan di sini didapati menjual pelbagai barangan jenama Adidas dan Chelsea disyaki tiruan.

Berikutan itu kata jurucakap terbabit, pihaknya dengan kerjasama pengadu telah melakukan pemantauan sejak sebulan lalu sebelum serbuan dilakukan semalam.

Dalam pada itu menurut beliau, kes tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 5 (1) (b) Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 kerana kesalahan membekalkan apaapa barangan yang baginya satu perihal dagangan palsu.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali (bagi kesalahan yang dilakukan oleh individu) dan denda RM250,000 untuk kesalahan yang dilakukan oleh syarikat.

“Kita akan meminta kerjasama pihak tuan punya syarikat (Adidas) untuk membuat pengesahan sama ada barangan yang dirampas tersebut adalah tiruan atau sebaliknya,” ujar beliau sambil menambah sekiranya terbukti tiruan atau palsu mereka akan merujuk kepada pegawai undang-undang untuk menentukan apakah jenis tindakan yang perlu diambil sama ada dikompaun atau didakwa di mahkamah.

Hasil serbuan itu juga katanya mendapati barangan jenama Adidas yang disyaki tiruan itu dijual pada harga 50 peratus lebih murah berbanding harga asal untuk barangan tulen.

Sehubungan itu, beliau menasihati para peniaga di sini agar tidak menjual barangan tiruan berjenama Adidas, Reebok, Nike dan sebagainya kerana jenama-jenama tersebut ada tuan punyanya selain melanggar etika perniagaan.

“Peniaga kena ingat, ejen jualan setiap jenama tersebut ada di mana-mana dan mereka sering membuat pemantauan dari semasa ke semasa.

Jangan ingat sekali mereka terlepas (dari tindakan), mereka boleh lepas selama-lamanya,” tegas beliau lanjut. - UTUSAN BORNEO 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan