Jumaat, 14 Disember 2012

Tangkap Pilihan Terakhir


BAU: Tindakan menangkap pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bukan langkah bijak dan harus menjadi langkah terakhir bagi menangani masalah pelatih yang gagal melaporkan diri untuk mengikuti program tersebut.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Datuk Dr Tiki Lafe berkata, kebanyakan kes yang berlaku melibatkan pelatih dari luar bandar yang berpunca daripada masalah komunikasi antara pelatih dan pihak pengurusan.

Justeru, katanya, MLKN akan mengambil tindakan mengikut tatacara yang telah ditetapkan untuk dibawa kepada pihak yang berkenaan bagi tindakan sewajarnya, dan bukan dengan cara menangkap mereka.

“Daripada keseluruhan jumlah pelatih yang dipanggil untuk melaporkan diri bagi setiap sesi pengambilan, sekitar 70 hingga 80 peratus hadir dan selebihnya gagal berbuat demikian atas sebab masalah kesihatan, menunda latihan atau masalah komunikasi.

“Kita mempunyai tatacara sendiri untuk menyelesaikan masalah ini seperti diserap bagi kerja-kerja khidmat masyarakat sejajar dengan matlamat PLKN untuk menyemai semangat kesukarelaan dan kepimpinan di kalangan generasi muda.

“Cara seperti menangkap pelatih yang gagal melaporkan diri dan tindakan lain yang kurang bertepatan dengan misi dan visi program adalah tindakan terakhir majlis melibatkan kes tegar,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kembara Bumi Kenyalang sempena Promosi Mega PLKN Zon J di Kem Puncak Permai di sini, semalam.

Seramai 140,000 pelatih baharu akan memulakan latihan pada tahun depan, merangkumi tiga sesi di mana kemasukan sesi pertama akan bermula pada 5 Januari melibatkan 42,000 pelatih di kesemua 81 buah kem di seluruh negara.

Dr Tiki berkata, program Promosi Mega PLKN merupakan satu daripada usaha jabatan untuk menyampaikan maklumat tentang PLKN kepada masyarakat pedalaman dan mendapatkan butiran terperinci berhubung masalah mereka.

Program julung kalinya dilaksanakan di negeri ini melibatkan pelbagai aktiviti antaranya ceramah PLKN, tayangan video, pameran dan Projek Jiwa Murni bersama masyarakat setempat.

Sebanyak 81 kem PLKN terlibat dalam promosi mega di seluruh negara dan Sarawak yang diwakili oleh Zon J melibatkan empat buah kem iaitu Kem Puncak Permai, Bau, Kem Juara, Serian; Kem Putra Sentosa, Sematan dan Kem Bukit Saban Resort, Betong.

Turut hadir pada majlis pelancaran semalam ialah Pengarah Zon J merangkap Komandan Kem PLKN Putra Sentosa Leftenan Kolonel Rahamen @ Abdul Rahman Wok.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan