Jumaat, 14 Disember 2012

Jururawat Gantung Diri Angkara Ditipu

Dua pegawai polis mengawal Mahkamah Koroner Westminster

LONDON - Seorang jururawat di Hospital King Edward VII di sini, Jacintha Saldanha yang berketurunan India ditemui mati selepas dia menggantung diri kerana ditipu dua penyampai radio dari sebuah stesen radio Australia yang menyamar sebagai pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II dan anakanda baginda, Putera Charles, menurut keterangan seorang pegawai polis semalam.

Pegawai polis itu, James Harman membuat pendedahan tersebut dalam inkues bagi menyiasat kematian Saldanha yang diadakan di sini.

Harman berkata, Saldanha, 46, meninggalkan tiga nota sebelum mayatnya ditemui di kediaman untuk kakitangan hospital tersebut pada Jumaat lalu.

Menurutnya, jururawat dari India yang juga ibu dua anak itu turut mempunyai kecederaan pada salah satu pergelangan tangannya.

Keterangan itu diberikan pada hari pertama inkues bagi menyiasat kematian Saldanha yang mati selepas dia menyambung panggilan yang dibuat oleh dua penyampai stesen radio 2Day FM dari Sydney, Australia kepada rakan setugasnya.

Dua penyampai radio itu, Mel Greig dan Michael Christian masing-masing menyamar sebagai ratu itu dan Charles bagi mengetahui tahap kesihatan Kate Middleton yang merupakan isteri Putera William.

William ialah cucunda kepada ratu tersebut.

Kate dirawat selama empat hari di hospital tersebut selepas dia dilaporkan mengalami loya akibat hamil anak pertama.

Menurut Harman, mayat Saldanha ditemui oleh seorang rakannya dan seorang anggota keselamatan.

"Sedihnya, dia ditemui tergantung," katanya kepada Mahkamah Koroner Westminster. Suami Saldanha, Benedict Barboza dan dua anaknya tidak hadir pada pendengaran tersebut.

Koroner Fiona Wilcox memberitahu mahkamah: "Saya mahu polis mengirimkan simpati saya kepada keluarganya dan setiap orang yang tersentuh dengan kematian tragis ini."

Pendengaran itu dilakukan dalam tempoh yang singkat dan ia akan bersambung semula pada 26 Mac tahun depan.

Sebelum ini, Greig dan Christian meminta maaf selepas tidak menyangka perbuatan mereka itu menyebabkan Saldanha mati. - Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan