Sabtu, 15 Disember 2012

Mengamuk Kerana Malaysia Kalah

Suspek semasa dibawa ke Balai Polis Simpang Tiga untuk siasatan lanjut

KUCHING: Seorang lelaki terpaksa diserahkan kepada pihak polis setelah mengamuk ekoran kekalahan pasukan ‘Harimau Malaya’ ketika menentang Thailand, malam kelmarin.

Suspek, 20-an, pada mulanya dikatakan bersama beberapa rakannya menonton siaran langsung perlawanan bola sepak di antara pasukan negara dan Thailand malam kelmarin.

Bagaimanapun, suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dan kecewa selepas melihat kekalahan pasukan negara dikatakan mula berkelakuan agresif.

Rakan-rakan suspek kemudian cuba menenangkannya, selain turut menyuruhnya pulang untuk mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

Keadaan menjadi lebih buruk ketika suspek tiba di rumahnya di Kampung Bako apabila dia dikatakan mula mengamuk dengan memecahkan pekakas rumah selain turut mengugut akan mencederakan sesiapa yang cuba menghalangnya.

Risau melihat keadaan tersebut, ahli keluarga suspek segera menghubungi pihak polis untuk memohon bantuan.

Sepasukan polis dari Unit Kereta Peronda Polis (MPV) tiba beberapa minit selepas itu dan terus menahan suspek.

Menurut seorang ahli keluarga suspek, suspek sering berkelakuan sedemikian terutamanya apabila berada di bawah pengaruh alkohol.

“Dia selalu mengamuk lebih-lebih lagi apabila dia mabuk tetapi kali ini, dia lebih agresif lagi menyebabkan kami terpaksa menghubungi pihak polis untuk menghalangnya,” katanya yang enggan dikenali.

Suspek telah dibawa ke Balai Polis Simpang Tiga untuk siasatan lanjut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan