Khamis, 21 Mac 2013

Ditembak Mati Depan Isteri Dan Anak


SIBU: Seorang lelaki warganegara Indonesia berumur 31 tahun maut selepas ditembak di depan isteri dan anaknya di bilik asrama pekerja ladang kelapa sawit yang terletak di Jalan Oya di sini, awal malam kelmarin.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 7 malam itu, seorang lelaki bertopeng yang dipercayai bersenjatakan senapang patah menendang pintu bilik asrama mangsa ketika mangsa sedang beristirahat.

Menurut sumber, sejurus bersemuka dengan penceroboh tersebut yang bercakap dalam bahasa Melayu, mangsa terus diarahkan berdiam diri dan jangan bergerak.

Menyedari penceroboh mempunyai niat tidak baik dan bimbang anak dan isterinya akan diapa-apakan, mangsa dikatakan bertindak cuba membawa isteri dan anaknya melarikan diri dengan meluru keluar dari bilik sambil menjerit.

Namun, lelaki bertopeng itu melepaskan satu das tembakan yang mengena dada mangsa yang kemudiannya rebah.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Shafie Ismail ketika dihubungi semalam mengesahkan kes tersebut dan mem- beritahu motif kes bunuh tersebut sedang dalam siasatan polis.

Katanya, mangsa yang dikenali sebagai Ahmad Yampu, warganegara Indonesia, cedera parah di bahagian dada selepas ditembak dengan senapang patah.

“Peluru tersebut terkena dada dan tembus ke bahagian belakang mangsa,” ujarnya.

Katanya, mangsa rebah di hadapan isteri mangsa dan anak mereka berusia tiga tahun yang hanya mampu menjerit meminta tolong ketika mangsa yang tercungap-cungap dan berlumuran darah.

Shafie berkata, beberapa saksi memberitahu empat lelaki bertopeng yang menaiki sebuah Toyota Hilux Vigo terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Katanya, sebelum melarikan diri, salah seorang daripada mereka mengambil wang tunai sebanyak RM500 daripada sebuah beg yang diletakkan di dalam sebuah lori di situ.

Shafie percaya motif kes bunuh tersebut bukan rompakan, namun punca kejadian masih dalam siasatan polis.

Menurut sumber, pekerja-pekerja lain bergegas keluar dari bilik masing-masing setelah mendengar jeritan isteri mangsa yang meminta bantuan.

“Tolong, suami saya kena bunuh, rintih isteri mangsa,” kata seorang rakan sekerja mangsa ketika ditemui se- masa mengiringi isteri mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Sentral di sini, pagi semalam.

Katanya, mereka hanya mampu melihat empat lelaki bertopeng melarikan diri ke arah Hilux terbabit, namun tidak seorang pun berani mengejar suspek-supek bersenjata terbabit.

Sejurus itu, mangsa yang masih bernyawa ketika itu dikejarkan ke Hospital Sibu oleh beberapa rakan sekerja-nya menaiki kereta. Mangsa telah disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital pada kira-kira jam 7.30 malam.

Kes tembak tersebut merupakan kes bunuh ketujuh berlaku di bandar ini dan kes kedua pada bulan ini selepas seorang ahli perniagaan, Lee Chiew Chuan mati ditembak di luar kediamannya di Lorong 2, Jalan Aman pada kira-kira jam 4.30 pagi 5 Mac lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan