Sabtu, 23 Mac 2013

Penduduk Kembara Sakti Dipindahkan


LAHAD DATU: Kira-kira 1,000 penduduk sebuah kampung di Kembara Sakti, FELDA Sahabat 43 dipindahkan ke Sekolah Agama Rakyat, kira-kira lima kilomter dari perkampungan mereka sebagai langkah keselamatan dalam menghadapi ancaman militan Sulu.

Ketua kampung berkenaan Ramlan Junit berkata, arahan supaya penduduk kampung mengosongkan kawasan kediaman mereka dan tidak menghampiri kawasan itu sehingga diarahkan, dikeluarkan polis petang kelmarin.

“Kami ada dengar pelbagai cerita dan khabar angin mengenai pengganas datang ke kawasan ini. Diharap keadaan kembali terkawal dan kami dapat pulang ke kediaman masing-masing,” katanya ketika ditemui Bernama di sekolah itu di sini semalam.

Akhbar semalam melaporkan seorang suri rumah mendakwa ditawan empat militan itu di Kembara Sakti, FELDA Sahabat 43 petang kelmarin.

Ketika ditanya adakah penduduk kampung lain pernah terserempak dengan pengganas Sulu, Ramlan berkata sebelum ini suasana kampung itu aman dan tenang dan ini kali pertama pasukan keselamatan mengeluarkan arahan untuk berpindah.

Jelasnya rata-rata penduduk adalah pekerja ladang, petugas kilang kelapa sawit, peniaga dan tidak pernah terlibat dengan kegiatan berkaitan pengganas.

Seorang penduduk yang tidak mahu dikenali berkata apa yang dilakukan pasukan keselamatan ini patut dipuji kerana mementingkan keselamatan penduduk dan untuk mengawal sebarang unsur pencerobohan atau gangguan daripada pengganas Sulu.

Seorang pekerja kilang yang hanya mahu dikenali sebagai Ernawati, 28, berkata sebaik pulang dari kerja pada kira-kira jam 3 petang, beliau dan jirannya disuruh ke sekolah itu untuk penempatan sementara.

“Saya lihat ramai penduduk kampung berpusu-pusu keluar. Ada juga yang keluar dari kawasan ini dan menumpang di rumah saudara,” katanya.

Difahamkan lokasi kampung itu terletak kira-kira 30 kilometer dari zon merah Operasi Daulat dan dikelilingi hutan tebal serta pokok kelapa sawit.

Turut kelihatan di lokasi pemindahan itu ialah sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang menghulurkan bantuan makanan kepada penduduk kampung. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan