Khamis, 21 Mac 2013

Lapan Pengganas Didakwa


LAHAD DATU: Lapan lelaki suspek pengganas warga Filipina, yang menceroboh negeri ini pada 12 Februari lalu, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini kelmarin, atas tuduhan melakukan keganasan dan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kelihatan empat buah lori polis diiringi beberapa kenderaan anggota keselamatan bergerak keluar meninggalkan IPD Lahad Datu kira-kira jam 1.30 petang kelmarin bagi menghantar seramai lapan lelaki warga Filipina yang didakwa.

Kesemua mereka yang berumur 17 hingga 66 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan kerana melakukan keganasan yang membawa hukuman penjara seumur hidup jika kesalahan.

Selain itu, mereka juga didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan atas kesalahan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amelati Parnell yang bersidang sebagai Majistret di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu di sini yang dijadikan sebagai Mahkamah Majistret Sementara.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar dan Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan (Polisi) Datuk Nordin Ahmad, kedua-duanya dari Pejabat Peguam Negara Putrajaya. Turut hadir di prosiding itu Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Ketika ditemui selepas prosiding berkenaan, Mohd Dusuki berkata kes itu dibenarkan dipindah untuk didengar di Mahkamah Tinggi Tawau.

Kesemua tertuduh ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 berikutan insiden pencerobohan dan keganasan oleh kumpulan berkenaan di Kampung Tanduo, di sini bulan lalu.

Sementara itu, kawasan IPD dikawal ketat oleh lebih 40 anggota polis bersenjata sejak awal pagi sehingga semua tertuduh dibawa keluar dengan lori polis untuk dihantar ke Tawau, kira-kira jam 1.30 petang.

Di Tawau, polis mengadakan kawalan ketat dengan anggota lengkap bersenjata serta jaket kalis peluru ketika semua lapan suspek pengganas dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, petang kelmarin.

Tinjauan mendapati kesemua tahanan terbabit tiba di IPD Tawau lebih kurang jam 3.40 petang dengan menaiki tiga trak polis Black Maria, sambil diiringi sembilan kenderaan yang dinaiki oleh pasukan keselamatan lengkap bersenjata.

Pihak polis yang menjalankan kawalan juga dilihat menutup pintu keluar-masuk di IPD Tawau dan kawalan lalu-lintas turut diadakan di sepanjang kira-kira 50 meter di Jalan Tanjung Batu di hadapan IPD Tawau.

Malah, pasukan polis yang berkawal di sekitar perkarangan dan luar pagar IPD Tawau dilihat dilengkapi senjata api selain kawalan udara dilakukan menerusi sebuah helikopter yang berlegar-legar di udara.

Sekumpulan pasukan polis turut diletakkan berkawal sekitar kawasan Mahkamah Tawau sebagai langkah keselamatan dan berjaga-jaga.

Kesemua tahanan terbabit yang berhadapan dakwaan keganasan dan melancarkan perang terhadap Yang diPertuan Agong dilihat dibawa masuk ke IPD Tawau dengan kepala mereka ditundukkan serta ditutup serta memakai pakaian berwarna ungu.

Difahamkan, persidangan di Mahkamah Tinggi Tawau esok (hari ini) akan dikendalikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Ravinthran Paramaguru dan akan turut dihadiri Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan