Sabtu, 16 Mac 2013

JPN Siasat Dakwaan Pengganas Miliki Dokumen Pengenalan Diri Negara


PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang menyiasat dakwaan terdapat dalam kalangan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah memiliki dokumen pengenalan diri negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop berkata, pihaknya sedang menunggu hasil siasatan menyeluruh berhubung dakwaan tersebut.

"Tindakan undang-undang akan diambil berdasarkan keadaan tersebut nanti," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPN di sini hari ini. Hadir sama, Ketua Pengarah JPN, Datuk Jariah Mohd. Said.

Seramai 337 kakitangan JPN menerima anugerah perkhidmatan cemerlang pada majlis tersebut yang diadakan serentak dengan majlis pelancaran Tabung Wira Negara JPN.

Sementara itu, Abu Seman meminta kakitangan JPN sentiasa mengambil langkah berhati-hati apabila menjalankan tugasan mengeluarkan dokumen kepada masyarakat.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang kes pemalsuan dokumen.

"Peranan kakitangan JPN amat mustahak dalam menjaga keselamatan negara khasnya mengenai pengeluaran dokumen penting," katanya.

Pada masa sama, beliau meminta kakitangan JPN agar terus komited bagi memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri pada tahun ini untuk menambah baik sistem penyampaian melalui pelaksanaan percetakan teragih MyKad dapat dicapai.

"Percetakan MyKad dalam tempoh 24 jam di pejabat JPN seluruh negara meliputi seratus peratus pengeluaran di semua Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan 80 peratus di ibu pejabat serta JPN negeri.

"Proses itu turut melibatkan pelaksanaan tambahan pusat percetakan teragih di 15 pejabat cawangan terpilih," katanya. - UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan