Sabtu, 16 Mac 2013

Usah Jadikan Taman Awam Sebagai Kubur Haiwan Peliharaan

Kasihanilah mereka...

MIRI: Taman-taman awam di sini tidak harus menjadi kubur bagi haiwan peliharaan iaitu anjing dan kucing. Pengerusi Program Haiwan Peliharaan Di Setiap Rumah Dr Uma Devi memberitahu, sebaliknya haiwan berkenaan harus menjadi kesayangan setiap isi rumah di bandar raya Miri.

“Anda sudah tentu tidak mahu melihat taman-taman awam menjadi kubur bagi anjing dan kucing yang dibuang oleh pemilik mereka,” katanya padasidang media Program Haiwan Peliharaan Di Setiap Rumah di Pejabat Majlis Bandaraya Miri (MBM) kelmarin.

Menurutnya, haiwan peliharaan merupakan salah satu daripada entiti antistres yang sememangnya baik untuk kesihatan mental manusia.

“Kita tidak boleh membuangnya sembarangan di taman-taman atau di mana-mana sahaja, sebaliknya harus lebih bertanggungjawab dengan memberikan haiwan peliharaan itu kepada orang lain,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau mahu meningkatkan kesedaran terhadap orang ramai tentang kebaikan memelihara anjing atau kucing di rumah.

“Kita turut membantu kanak-kanak untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan penyayang dengan memelihara haiwan,” kata Dr Uma.

Beliau turut menyeru orang ramai menyambut baik program berkenaan bagi memastikan kejayaannya.

“Semuanya harus bersatu dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam hal ini, hentikan perbuatan membuang haiwan di jalanan,” tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan