Jumaat, 22 Mac 2013

Kes Penyakit Tibi Di Miri Serius

Catat kes tertinggi dengan 612 kes daripada 300,000 populasinya

MIRI: Miri mencatat kes penyakit batuk kering atau tuberculosis (tibi) paling tinggi di negeri ini dengan 612 kes direkodkan daripada 300,000 populasinya pada tahun lepas.

Menurut Pegawai Perubatan Hospital Miri Dr Jee Rou Chee, peningkatan ini amat membimbangkan sekiranya tiada langkah pencegahan awal diambil oleh para penghidap penyakit tersebut.

Katanya meskipun setakat ini Kuching merekodkan jumlah kes paling tinggi iaitu sebanyak 730 kes, namun ia dianggap masih rendah memandangkan jumlah populasinya dua kali ganda lebih ramai daripada penduduk Miri.

“Kita merekodkan lebih banyak kes di sini berbanding Kuching atau tempat-tempat lain di seluruh Sarawak.

“Kenapa?, antara sebabnya adalah kurangnya kesedaran tentang bahaya penyakit tibi di samping sukar mendapatkan rawatan berikutan masalah pengangkutan,” katanya ketika menyampaikan ceramah kesihatan awam berhubung penyakit tibi di Pustaka Miri di sini semalam.

Menurut Dr Jee, kurangnya kesedaran tentang bahaya penyakit tibi dan bagaimana ia boleh merebak kepada orang lain merupakan antara sebab mengapa penyakit ini sukar dikawal walaupun ia adalah sejenis penyakit yang dapat diubati.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan pada tahun lalu, daerah Marudi dan Miri masing-masing merekodkan peratusan paling rendah dan kedua terendah dari segi bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan iaitu hanya 50 dan 63 peratus.

Sedangkan tiga daerah lain iaitu Saratok, Pakan dan Song mencatat 100 peratus bilangan pesakit mendapatkan rawatan.

Sehubungan itu, beliau menggesa mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi supaya datang secara sukarela untuk membuat pemeriksaan kesihatan di poliklinik berdekatan.

Manakala mereka yang tinggal di Miri boleh mendapatkan rawatan sama ada di Poliklinik Tudan atau Miri.

Tibi merupakan sejenis penyakit yang disebabkan bakteria dan ia boleh merebak melalui air dan angin dan boleh berjangkit dengan cepat sekirannya bersentuhan dan berkongsi perkakas dengan penghidapnya.

“Justeru, adalah penting apabila seseorang itu didapati positif tibi, semua ahli keluarga atau rakan sekerja membuat pemeriksaan kesihatan untuk mengelak penyakit tersebut daripada merebak,” jelasnya.

Dalam pada itu menurut Dr Jee, antara kumpulan paling berisiko tinggi dijangkiti tibi adalah mereka yang mempunyai ahli keluarga penghidap tibi, penghidap HIV, imigran dari negara yang merekodkan penyakit tibi paling ramai, mereka yang berada di pusat pemulihan (penjara dan pusat pemulihan dadah) serta penghidap penyakit berisiko seperti kencing manis dan sebagainya.

Manakala simptom-simptom penyakit tibi adalah demam biasa, berpeluh pada waktu malam, batuk kering, susut berat badan dan hilang selera makan.

Seramai 150 orang telah menghadiri ceramah itu yang merupakan anjuran Pustaka Miri dan Hospital Miri sempena sambutan Hari Tibi Sedunia 2013.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan