Sabtu, 16 Mac 2013

Tiga Hari Untuk Menuntut Mayat


LAHAD DATU: Malaysia memberi tempoh tiga hari untuk Filipina menuntut mayat rakyatnya yang ditembak dalam Operasi Daulat di sini setelah mereka menceroboh negara 12 Feb lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata tempoh itu yang mengikut konvensyen Geneva diberi melalui satu surat rasmi kepada Manila.

Surat berkenaan dikeluarkan setelah mayat penceroboh militan itu selesai dibedah siasat.

“Jika tidak respons dalam tempoh tiga hari, kami akan kebumikan mengikut cara yang sesuai, kalau orang Islam ikut cara Islam,” katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat Mej Jen Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di markas operasi FELDA Sahabat 16, dekat sini semalam.

Hamza berkata seramai 61 pengganas militan ditembak mati dalam Operasi Daulat yang masuk hari ke-11, dan sehingga 5 petang semalam 27 daripada mayat itu telah dibawa keluar dari kawasan operasi.

“Kami percaya terdapat 10 lagi mayat pengganas belum dibawa keluar dari Kampung Tanjung Batu,” katanya yang turut mengesahkan bahawa pasukan keselamatan menemui tiga kubur dan 15 mayat di Kampung Tanduo. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan