MIRI: Dua remaja lelaki yang mengaku bersalah terhadap tuduhan melakukan pecah rumah dan curi diperintahkan Mahkamah Juvana semalam supaya dibebas dengan bon berkelakukan baik selama dua tahun berserta jaminan RM2,000.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua juvana terbabit supaya melapor diri ke Balai Polis Lutong sekali sebulan.
Kedua-dua juvana terbabit dari Taman Ceria di sini menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-duanya didapati telah melakukan pecah rumah dan curi dengan memasuki sebuah rumah yang di bawah jagaan Lenny Galang dengan cara membuka pintu utama dan mencuri dua unit silinder gas jenama Shell berwarna kuning.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada jam 1 petang, 2 Disember tahun lalu di Lot 7563-2-17, Lorong 1-6 Permyjaya di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan