MIRI: Seorang wanita warga asing dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen semalam kerana kesalahan masuk ke negeri ini secara haram.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk proses pengusiran ke negara asalnya sebaik selesai menjalani hukuman penjara kelak.
Babylyn Lahab, 20, dari Zamboanga, Arina Belangkau, Filipina didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut keterangan kes, tertuduh telah ditangkap pada jam 10.05 pagi, 7 Mac lalu di bulatan Pujut 3 iaitu hadapan Pasar Raya GK di sini untuk tujuan pemeriksaan kerana dipercayai warga asing.
Hasil pemeriksaan mendapati tertuduh yang berasal dari Filipina tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah yang membolehkan dia memasuki dan tinggal di sini.
Pendakwaan dilakukan Cif Inspektor Mary Ong di hadapan Timbalan Pendaftar Nasrul Hadi Abdul Ghani.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan