Selasa, 19 Mac 2013

Jamalul Kiram Akan Ditentang Habis-Habisan


LAHAD DATU: Jamalul Kiram III boleh berkata apa sahaja tapi pihak keselamatan akan menentang habis-habisan.

Demikian kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, ketika ditanya mengenai kenyataan Jamalul Kiram yang mengarahkan pengikut-pengikutnya supaya tidak berganjak dari Sabah dan melancarkan serangan gerila terhadap pasukan keselamatan Malaysia.

Menurutnya, tindakan dan kenyataan Jamalul Kiram itu tidak lagi boleh diambilkira dalam menyelesaikan misi Op Daulat.

“Jamalul Kiram boleh cakap apa sahaja tapi kita akan tentang habis-habisan…kalau dia tidak menyerah dia akan terima akibatnya,” katanya.

Menurut laporan media, Jamalul Kiram berkata berundur dari Sabah bukanlah satu pilihan untuk tentera-tenteranya.

“Mereka sudah di tanah air mereka jadi mengapa kembali?” katanya kepada para pemberita di kediamannya di Taguig, menurut laporan ‘The Philippine Star’.

Sementara itu, jurucakap Sultan Sulu, Abraham Idjirani yang menyifatkan tindakan memasuki Sabah sebagai satu ‘perjuangan’ berkata tenteranya akan meneruskan ‘perjuangan’ mereka.

Katanya, kesultanan Sulu telah menarik balik perintah gencatan senjata yang dikeluarkan dan tentera-tentera diraja telah diarahkan melancarkan operasi secara “serang dan lari” terhadap pasukan keselamatan Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan