Isnin, 18 Mac 2013

Seorang Pengganas Sulu Ditembak Mati


Kawasan zon merah

LAHAD DATU: Seorang lagi pengganas Sulu dari selatan Filipina ditembak mati oleh pasukan keselamatan dalam Operasi Daulat di Kampung Tanjung Batu di sini se­malam, menjadikan jumlah keseluruhan musuh yang terbunuh kepada 62 orang.

Panglima Medan Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata dua pertempuran berlaku semalam iaitu pada jam 9.55 pagi dan 10.15 pagi apabila pasukan keselamatan ber­tembung sekumpulan musuh di kawasan itu.

“Pada 10.15 pagi kita sekali lagi bertembung dengan musuh dan salah seorang daripada mereka berjaya dibunuh manakala tiga yang lain melarikan diri,” katanya dalam sidang media bersama Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib di markas operasi FELDA Sahabat 16, pada kira-kira jam 11 pagi, di sini.

Zulkiple berkata tiga lagi musuh itu dipercayai masih berada di kawasan Tanjung Batu dan pasukan kesela­matan sedang giat menjejaki mereka.

“Mayat musuh yang dibunuh itu hanya akan dikeluarkan apabila kead­aan benar-benar selamat,” katanya.

Beliau berkata operasi pembersihan masih giat di­jalankan di Kampung Tanduo dan Tanjung Labian, sebe­lum penduduk dibenarkan kembali ke kampung mas­ing-masing dalam tempoh terdekat.

Pasukan keselamatan juga sedang giat memeriksa dan menggeledah rumah-rumah di kawasan operasi bagi memastikan tiada musuh berlindung di kediaman pen­duduk, kata Zulkiple.

Dalam pada itu Hamza ber­kata, musuh kini dipercayai bergerak dalam kumpulan kecil di sekitar Kampung Tanjung Batu.

Beliau berkata orang ramai diminta menyalurkan mak­lumat kepada pasukan kes­elamatan bagi memudahkan usaha menjejaki saki-baki kumpulan militan tersebut dan tidak memasuki kawasan zon merah demi keselamatan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan