Jumaat, 15 Mac 2013

Murid Sekolah Di Zon Merah Dibenar Hadir Mana-Mana Sekolah

Tiga sekolah masih di tutup berada dalam zon merah

LAHAD DATU: Murid dari tiga buah sekolah di FELDA Sahabat yang masih ditutup untuk Operasi Daulat dibenar menghadirkan diri di mana-mana sekolah untuk meneruskan pelajaran, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong.

Katanya beliau telah dimaklumkan Pengarah Pelajaran Sabah Jame Alip bahawa arahan telah dikeluarkan kelmarin kepada semua sekolah lain supaya menerima murid-murid yang terjejas, berkuat kuasa serta-merta.

“Dalam hal ini, Pengarah Pelajaran Negeri mempunyai kuasa untuk memberi arahan seperti ini.

“Ini bagi memastikan pelajaran dan pengajaran tidak terjejas berikutan insiden pencerobohan pengganas Sulu di kawasan merah,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Siew Ching di sini semalam.

Tiga sekolah yang berada dalam zon merah ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian yang mempunyai 18 guru dan 265 murid, SK Lok Buani (13 guru, 127 murid) dan SK Fajar Harapan (40 guru, 605 murid).

Beliau berkata, penerimaan murid-murid di mana-mana sekolah untuk sementara waktu sepatutnya tidak menjadi masalah memandangkan masing-masing mempunyai sukatan pelajaran yang sama.

Mengenai murid-murid di pusat pemindahan sementara pula, Wee berkata Jabatan Pelajaran Negeri menerusi Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) akan mewujudkan kelas sementara bagi memastikan murid-murid terbabit tidak terus ketinggalan dalam pelajaran jika Operasi Daulat berlarutan.

Beliau juga berkata, Jabatan Pelajaran Negeri akan mendapatkan khidmat pakar psikiatri bagi memberi kaunseling kepada guru-guru yang trauma atau tertekan dengan insiden pencerobohan itu sehingga tidak hadir ke sekolah. 

“Kita mendapat tahu ada guru yang balik ke Sarawak atau ke Semenanjung kerana insiden ini dan kita telah minta kepada sekolah masing-masing untuk mengesan guru-guru terbabit untuk diberi kaunseling jika menghadapi trauma berikutan insiden itu,” katanya.

Dalam pada itu, Wee berkata kehadiran murid di 50 sekolah di Lahad Datu, tidak termasuk tiga sekolah yang masih tutup, beransur pulih dengan purata kehadiran sebanyak 80 peratus sejak Isnin lepas.

Beliau juga berkata, ibu bapa dan penjaga tidak perlu bimbang tentang keselamatan anak-anak mereka di sekolah kerana anggota keselamatan sentiasa memantau keselamatan di kawasan awam, termasuk di kawasan sekolah. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan