Sabtu, 16 Mac 2013

Penasihat Jamalul Kiram Tidak Beri Keterangan

Penunjuk perasaan membakar poster Presiden Filipina, Benigno Aquino III

MANILA - Jurucakap keluarga pemimpin puak pengganas Sulu, Abraham Idjirani gagal untuk hadir ke Biro Siasatan Kebangsaan (NBI) selepas dia menerima saman untuk hadir bagi memberi keterangan dalam siasatan berhubung konspirasi pencerobohan di Sabah.

Menurut portal berita ABS-CBNnews.com, Pastor Boy Saycon yang merupakan penasihat kepada Jamalul Kiram III turut tidak hadir selepas saman tersebut dikeluarkan. Kedua-dua mereka telah menghantar surat tunjuk sebab kepada NBI kerana tidak hadir.

Saycon yang dipanggil oleh NBI pada Selasa lalu berkata, tiada seorang pun ahli keluarga Jamalul Kiram akan pergi ke NBI untuk memberi keterangan walaupun mereka telah dipanggil.

Hanya penyampai radio, Waldy Carbonell hadir ke NBI untuk memberi keterangan. Bagaimanapun, Carbonell menafikan penglibatannya dalam konspirasi di Sabah.

Dia mendakwa hanya mengetahui kehadiran para pengikut Jamalul Kiram di Lahad Datu, Sabah selepas dua hari mereka meninggalkan Sulu. Carbonell mengaku dia merupakan rakan rapat dan penyokong Jamalul Kiram. Bagaimanapun, dia menegaskan tidak pernah memberi sebarang nasihat mengenai rancangan untuk mengambil alih Sabah.

Pada Selasa lalu, sepina dikeluarkan NBI kepada Jamalul Kiram dan beberapa ahli keluarganya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan terdapat konspirasi dalam krisis pencerobohan di Sabah.

Namun, pihak NBI telah menarik balik sepina itu dan hanya Idjirani diminta tampil bagi mewakili pihak keluarga itu.

Isu pencerobohan itu berlaku selepas sekumpulan lelaki bersenjata yang merupakan pengikut Jamalul Kiram menceroboh Lahad Datu pada 12 Februari lalu.

Pencerobohan itu menyebabkan berlakunya pertempuran antara kumpulan keselamatan Malaysia dengan para pengikut itu. - AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan