Khamis, 21 Mac 2013

Misuari Dakwa Sarawak Hak Kesultanan Sulu

Nur Misuari

KUCHING: Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot Jaem semalam menyelar dakwaan Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari yang menyatakan bahawa Sarawak juga sebahagian daripada hak Kesultanan Sulu.

Beliau berkata sebagai negeri yang berada dalam negara merdeka Malaysia, tidak ada satu pun pihak boleh mempersoalkan Sarawak adalah milik Malaysia dan kedaulatannya akan dipertahankan.

Menurutnya jika benar-benar Misuari cintakan keamanan seperti yang sering diperjuangkannya selama ini, beliau seharusnya menyokong dan menyertai usaha-usaha perjanjian keamanan dalam rangka kerja yang ditandatangani antara Kerajaan Filipina dengan Bangsamoro bukannya cuba mengambil kesempatan ke atas Lahad Datu.

Misuari ujarnya harus berbuat baik kepada rakyat sebangsa dengannya dan Kerajaan Filipina dengan mencurahkan kesetiaannya dalam rangka kerja perjanjian yang ditandatangani untuk keamanan berkekalan di Mindanao.

“Kepada Nur Musiari ini nasihat saya: Jangan menangguk di air yang keruh. Jangan mengambil kesempatan atas apa yang berlaku di Lahad Datu… Sarawak hak Malaysia.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) berkata Malaysia akan mempertahankan walaupun seinci tanahnya daripada dicerobohi termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, semalam.

Riot yang juga Ahli Parlimen Serian berkata seperti status Sabah, kedaulatan tanah air Malaysia tidak harus dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Malaysia seperti diperkatakan Perdana Menteri katanya akan dengan bersungguh-sungguh melindungi dan mempertahankan setiap inci daripada tanah negara ini khususnya Sabah daripada diceroboh.

“Malaysia adalah negara yang cintakan keamanan. Mempromosikan keamanan salah satu daripada tonggak dasar luar negara.

“Sebab itulah Malaysia terlibat aktif dalam misi menjaga keamanan di seluruh dunia dan sanggup menaja aktiviti keamanan di negara jiran terutama di Filipina.

“Kita telah menyaksikan keadaan huru-hara dan ketidakstabilan di selatan Filipina yang ternyata tidak membawa keuntungan kepada mana-mana pihak sebaliknya hanya beban kepada Malaysia serta negara-negara jiran yang lain,” ujarnya.

Baru-baru ini, Misuari secara terbuka menyatakan Sarawak juga hak Kesultanan Sulu sama seperti bahagian timur negeri Sabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan